Halaman

Ahad, 14 Julai 2013

Definisi Negara Islam

Bagaimana Nabi menceritakan tentang negara Islam? Sebahagian dari kalangan kita tidak tahu apa itu negara Islam. Mereka cuma tahu hudud sahaja. Tadi kita shalat di mana, di masjid. Ada azan atau tidak, ada azan. Ada imam atau tidak, ada imam. Masjid kerajaan buat atau tidak, masjid kerajaan buat.

Imam Abu Bakar Al-Isma’ili yang wafat pada tahun 371 hijrah dalam Aqiidatu Ash-haabul Hadits menyebut tentang prinsip akidah Ahlus sunnah wal Jamaah tentang negara Islam bahawa sesungguhnya sesebuah negara itu dikenali sebagai Darul Islam sekiranya shalat dilaksanakan secara terbuka. Dalilnya adalah hadis Nabi ketika Nabi hendak masuk memerangi satu kawasan dan baginda menunggu sampai Subuh. Apabila terdengar azan, Nabi menghentikan serangan dan menyuruh tenteranya pulang kerana syiar Islam di kawasan tersebut dilaksanakan secara bebas dan terbuka.

Sekarang ini kita bukan setakat shalat. Shalat merupakan hukum Islam yang besar. Di dalam hadis yang lain baginda SAW bersabda mengatakan bahawa ikatan simpulan Islam ini akan terungkai satu demi satu sehingga tingga yang terakhir iaitu shalat. Maknanya shalat itu merupakan satu nilaian sama ada sesebuah negara itu Islam ataupun tidak. Tetapi adakah sempurna negara Islam kita? Tentu tidak. Ini adalah kekurangan.

Kita ada zakat dan Baitul Mal. Apa perancangan kita sendiri dalam membayar zakat? Zakat merupakan rukun Islam. Zakat merupakan sumber ekonomi kaum muslimin.

Kita ada Tabung Haji. Tabung Haji mendapat pengiktirafan pengurusan haji terbaik di dunia. Keuntungan Tabung Haji sekarang ini berbillion ringgit. Tabung haji bukan mengurus haji sahaja. Mereka ada syarikat travel, properties, oil and gas, makanan. Bermula dengan mengurus Jemaah haji ia berkembang dengan pesat sedemikian rupa. Tabung Haji ada 30 billion ringgit tunai.

Kita juga mempunyai sistem perbankan Islam yang terbaik dan terunggul di dunia. Ini bukan puji kerajaan, tetapi ini semua merupakan hukum-hukum Islam yang dilaksanakan di Malaysia, sebab selama ini kita telah mematikan sel pemikiran kita dengan mengikat hukum Islam itu hanya hudud sahaja. Hudud merupakan satu cabang daripada cabang-cabang hukum Islam.

Insfrastruktur, pendidikan, pembinaan sekolah, ini semua terisi dalam prinsip-prinsip maqasid asy-syar’iyyah yang menjaga agama, akal, nyawa, maruah dan harta. Semua ini disusun baik dari segi insfratrukturnya seperti jalan, pembangunan, ekonomi dan sebagainya.

Maknanya kita telah melaksanakan sebahagian besar hukum Islam. Sebab itu bukalah kitab keempat-empat mazhab, takrifan yang diberikan tentang negara Islam adalah menggunakan perkataan “ghalabah” iaitu kebanyakan daripada hukum Islam itu dilaksanakan.

Tinggal hudud iaitu sebahagian daripada jenayah syariah yang masih tidak mampu kita laksanakan. Adapun hukuman seperti ta’zir telah kita laksanakan. Ta’zir adalah sebahagian daripada hukum Islam. Mungkin ada yang mengatakan itu undang-undang sivil. Itu cuma pada nama sahaja, hakikatnya adalah ta’zir. Tahukah kita apa itu hukum ta’zir? Kita bercakap bab ta’zir tetapi kita sendiri tidak tahu apakah itu ta’zir.

Ta’zir ini keluar daripada kaedah-kaedah tindakan pemimpin ke atas rakyatnya terikat dengan kepentingan dan keperluan. Hukum kepada jenayah rasuah tidak terdapat di dalam hudud maka rasuah boleh dikenakan hukuman ta’zir. Riba juga tidak ada di dalam hukum hudud walaupun Allah mencerca riba. Maka hukuman ini masuk ke dalam ta’zir. Ta’zir kembali kepada kecerdikan pemimpin. Maka kita telah melaksanakan satu cabang, dan masih ada lagi 2 cabang iaitu qisas dan hudud.

Sebahagian daripada qisas telah kita buat iaitu bunuh dibalas bunuh. Cuma kita belum lagi mematuhi kaedah perlaksanaan hukum. Menurut hukum Islam adalah dengan pancung terus, kita pula gantung. Maka mungkin boleh dibuat kajian dan pendetilan tentang hal tersebut; iaitu bagaimana untuk memudahkan mati.

Orang sekarang asyik bercakap tentang hudud. Adakah mereka yang bercakap ini tahu kedudukan mahkamah syariah ini di tahap mana sekarang? Mereka hendak membuat hudud melalui mahkamah mana? Bukan semudah tutup kedai kopi tepi jalan dan kita buat mahkamah di sini. Mahkamah bukan macam kedai jual asam pedas, boleh buka tutup buka tutup.

Sekarang ini, mahkamah syariah baru 3 peringkat jika hendak dibandingkan dengan mahkamah sivil; 5 peringkat. Dan hukuman paling berat di dalam mahkamah syariah kita adalah denda RM5000, penjara 2 tahun, dan 6 kali sebatan. Bagaimana hendak laksanakan hukuman potong tangan, rejam, sebat 80 rotan? Semua perkara ini perlu dirincikan. Jadi tugas pertama sekali adalah dengan mengangkat dan menaiktarafkan mahkamah syariah, dan perkara ini telah kita laksanakan.

Sekarang ini mahkamah syariah telah diluluskan di seluruh Semenanjung kecuali dua negeri. Sebab hukum yang berkaitan dengan agama tertakluk di bawah kuasa Raja-raja yang berbeza kuasanya di setiap negeri. Seseorang kalau mendaftar sebagai peguam syar’i di Selangor, dia tidak boleh praktis di Perlis. Dia perlu minta tauliah yang lain di Perlis. Begitu juga dia tidak boleh praktis di Pulau Pinang, Perak, Pahang dan negeri lain. Kita baru dalam proses menaiktaraf mahkamah, dan mahkamah syariah belum “centralized” lagi. Sebab itu sebelum bercakap bab hudud, cakap bab ini terlebih dahulu. Gesa kerajaan naiktaraf mahkamah, Alhamdulillah sudah dibuat 5 peringkat tinggal lagi 2 negeri yang belum kerana perlu membuat temujanji untuk bertemu dengan Sultan-sultan dan raja-raja.

Setelah mendapat kelulusan, bukan bererti esok kita sudah boleh buat hudud. Kita kena cari pekerja. Ini bukan kerja toreh getah tetapi perjawatan, kemudian berlaku khilaf pula adakah peguam syar’i wanita dibolehkan mengisi jawatan atau tidak, berselisih pula ahli majlis fatwa. Ini semua adalah prosesnya.

Selepas itu undang-undang perlu digubal. Untuk menggubal undang-undang, pakar-pakar dari sivil dan undang-undang syar’i perlu dipanggil. Kita perlu menjemput pihak penguatkuasa.

Kaedah pembuktian; boleh atau tidak jenayah dibuktikan dengan video, kamera, atau DNA? Dalam sejarah Islam, Nabi tidak pernah menangkap orang berzina dengan mendatangkan empat orang saksi. Kita pula hendak buat bagaimana? Pada zaman Nabi, mereka datang sendiri kepada Nabi mengaku kesalahan. Takwa mereka kuat. Tetapi kita pada hari ini siapa yang hendak pergi mengaku?

Berlaku perbincangan para ulama pula. Kalau ada video perlu diteliti video tersebut. Ada pendapat Syaikh Taufiq Al-Ba’dani seorang tokoh ulama di Yaman, sekiranya bukti berbentuk video, pertama sekali adalah dengan memastikan ketulenan video tersebut. Sebab hudud tidak boleh dilaksanakan dengan syubhat.

ادْرَأُوا اَلْحُدُودَ بِالشُّبُهَاتِ

“Ketepikanlah hukum hudud dengan adanya syubhat (dalam pembuktian).”

Pembuktian kesalahan yang dilaksanakan hudud tidak boleh dengan bersangka-sangka. Contoh muka seperti orang itu, perut seperti orang itu, semua ini tidak boleh dan tertolak. Sebaliknya semua mestilah bersifat pasti.

Setelah memastikan ketulenan video, perlu dipanggil pula empat orang saksi lelaki yang adil untuk melihat video tersebut. Itu pendapat Syaikh Taufiq Al-Ba’dani. Setelah itu barulah boleh dijatuhkan hukuman had ke atas penjenayah tersebut.

Ulama lain pula berpendapat bahawa video tidak boleh menjadi saksi. Di dalam hudud, video tidak boleh menjadi saksi untuk pembuktian bagi dijatuhkan kesalahan dan hukuman hudud. Tetapi boleh digunakan hukuman ta’zir di mana ta’zir menerima video sebagai bahan bukti. Pembuktian bagi hukuman ta’zir boleh dengan menggunakan DNA, cap jari dan sebagainya.

Kadang-kadang apabila kita bercakap tentang hudud, kita ketinggalan zamannya. Seolah-olah kita hidup di Papua New Guinea. Kita tidak tahu apa yang berlaku di dalam negara kita, bagaimana sistem perundangannya, bagaimana keadaannya.

Ringkasnya dalam isu demokrasi, JI, Hizbut Tahrir, dan sebagainya, mereka ini adalah golongan-golongan yang salah faham tentang negara Islam, salah faham tentang kepimpinan Islam sehingga mereka ekstrim dan fanatik dalam bertindak. Sebab itu mereka ini sebenarnya memiliki ciri-ciri yang disebut dalam sejarah Islam sebagai Khawarij; mudah untuk menghukum manusia, mudah mengkafirkan dan menyesatkan manusia.

Wallaahua’lam.

Tiada ulasan:

INDAH NYA.......................

indahnya dunia tetapi hanya sementara, indahnya dosa tetapi hanya kelak merana, indah nya bahasa tetapi disalah guna, yang indah hanya sementara di dunia ini , beringatlah wahai saudara akhir juga yang kekal selamanya yang indah yang kekal abadi. semoga saudara semua ditempatkan golongan-golongan yang beriman. amin.

AKU HAMBA ALLAH S.W.T