Halaman

Sabtu, 6 Julai 2013

SEJARAH PERKEMBANGAN SAINS SOSIAL DI MALAYSIA.

Sejarah sains sosial adalah sebahagian yang amat penting 
dalam sejarah intelektual sesuatu bangsa dan negara. Sejarah intelektual itu pula merupakan jiwa dan mata akal pencerahan kepada keseluruhan sejarah bangsa dan negara. Sumbangan sarjana dan pemikir sains sosial dalam pembinaan negara bangsa seperti masyarakat berbilang etnik di Malaysia adalah penting untuk merealisasikan pembangunan negara. Perlu ditegaskan, ilmu sains sosial masih relevan dan harus diberikan perhatian oleh semua pihak terutama para pembuat dasar. 


Menurut Abdul Rahman Embong (2006), sains sosial secara umum dan kajian Malaysia secara khusus telah berkembang di Malaysia selama kira-kira lima dekad. Setelah rumpun sains sosial diperkenalkan di negara ini melalui ilmu kolonial sejak zaman sebelum merdeka, banyak perubahan dan perkembangan telah berlaku terutamanya semenjak awal 1970an. Usaha menyalurkan ilmu sains sosial di negara ini bermula sejak tahun 1960an lagi dengan pengenalan disiplin ekonomi di Universiti Malaya. Dewasa ini rumpun sains sosial itu sudahpun mencorakkan dunia ilmunya tersendiri dan juga memberikan kesan yang penting ke atas pembangunan negara dan masyarakat. Semangat dan titik tumpuan ilmu sosial mungkin berbeza-beza dari suatu zaman ke zaman yang lain. Namun beberapa prinsip asasnya tetap kekal. Maka untuk melangkah ke hadapan dan memajukan sains sosial selanjutnya pada abad ke-21 ini, adalah penting bagi kita meneliti sejarah perkembangannya, membuat tinjauan ke atas perkembangan itu bagi mengenal pasti semangat dan titik pertemuannya.
Apabila kita mengatakan bahawa sains sosial di Malaysia masih agak muda sebagai fenomena selepas merdeka, ini tidak bererti tidak ada tradisi ilmu dalam masyarakat kita pada zaman sebelum itu. Langkah awal penginstitusian sains sosial di Malaysia bermula dengan penubuhan Raffles College pada 1929 di Singapura yang mengajar ilmu ekonomi sebagai satu disiplin dalam bidang sastera di samping bidang-bidang ilmu sosial lain seperti sejarah, geografi serta bahasa dan sastera Inggeris (Zainal Kling, 1995). Apabila Universiti Malaya ditubuhkan di Singapura pada Oktober 1949 dengan percantuman Raffles College dengan King Edward VII College of Medicine, disiplin ekonomi diinstitusikan sebagai sebuah jabatannya tersendiri. Apabila cawangan Universiti Malaya Kuala Lumpur didirikan pada 1959, sejumlah disiplin sains sosial diajar di Fakulti Sastera di mana ilmu ekonomi menduduki tempat istimewa dengan Jabatan Ekonomi menjadi jabatan terpenting di fakulti itu (Zainal Kling, 1995). 


Apabila cawangan Kuala Lumpur menjadi Universiti Malaya (UM) pada 1961 (institusi asal di Singapura menjadi Universiti Singapura), perkembangan sains sosial dipergiatkan lagi dengan memperbesarkan Jabatan Ekonomi menjadi Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran pada 1966. Di Fakulti Sastera pula terdapat pelbagai jabatan seperti jabatan geografi, sejarah, pengajian Islam, pengajian Melayu, Cina dan India. Bagi sains sosial lain seperti antropologi, sosiologi, psikologi dan sains politik, tidak ada jabatan yang khusus yang berperanan sebagai institusi pendukungnya. 


Disiplin-disiplin ini khusunya antropologi dan sosiologi diserapkan melalui aliran budaya di Jabatan Pengajian Melayu mulai 1959 (Zainal Kling, 1995). Disiplin falsafah juga tidak mendapat dukungan manamana jabatan falsafah sungguhpun ini tidak bererti pengajaran falsafah tidak diserapkan ke dalam disiplin-disiplin yang sesuai. Sementara disiplin-disiplin lain dalam sains sosial sudah mula bertapak, pengenalan disiplin-disiplin baru khususnya sosiologi, antropologi, psikologi, sains politik, komunikasi dan sebagainya berlaku kemudian, iaitu sejak 1970an, bahkan sains politik dan komunikasi diperkenalkan secara rasmi pada 1980an. Seperti yang dinyatakan oleh Hairi Abdullah (1995), Zainal Kling (1995) dan lainlain, penubuhan universiti-universiti baru, iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1969, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970, Universiti Putra Malaysia (dulunya Universiti Pertanian Malaysia) pada 1971, Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 1983, dan seterusnya beberapa universiti lain di negara ini telah menjadi wadah bagi pengembangan disiplin-disiplin baru dalam sains sosial. Pada 1971 pula, Universiti Malaya mengambil langkah yang didahului oleh UKM dan USM dengan menubuhkan Jabatan Antropologi dan Sosiologinya sendiri di bawah Fakulti Sastera (Abdul Rahman Embong. 2006). 


Perkembangan sains sosial di negara kita sejak pasca merdeka telah menyaksikan banyak pencapaian dalam usaha membangunkan manusia, masyarakat dan negara. Justeru beberapa kolej universiti juga telah dinaik tarafnya sebagai universiti baharu pada abad ke-21. Ia adalah tapak asas yang kukuh bagi universiti baharu di negara kita untuk memperkembangkan disiplin sains sosial yang akan menentukan peranan dan orientasi disiplin tersebut pada masa hadapan. Pembangunan di negara bukanlah bermakna kita tidak akan menghadapi masalah sosial malahan sebaliknya. Ini bermakna disiplin sains sosial harus diperkenalkan dan disebarluaskan secara sistematik dan progresif lagi pada masa hadapan supaya ia dapat memenuhi cabaran dan pelbagai kehendak pergolakan sama ada dari aspek sosial, ekonomi mahupun politik. 


Disiplin sains sosial semakin mendapat perhatian atau tempat dan penghargaan yang baik daripada pelbagai pihak seperti badan akademik, politik, pemerintah serta juga pihak swasta. Keperluan terhadap disiplin sains sosial ini dirasai benar mustahaknya lebih-lebih lagi apabila wujudnya perkembangan yang pesat dari segi pembangunan yang dialami oleh negara kita selepas merdeka sehingga ke hari ini. 


Oleh yang demikian, disiplin sains sosial mulai berkembang selepas negara ini mengalami zaman pembangunan yang lebih pesat, iaitu dalam tahun 1960an. Pembangunan dari segi sosial, ekonomi dan juga politik telah menjadi faktor utama yang memberi penghargaan dan perhatian terhadap disiplin sains sosial. Bukti penghargaan dan perhatian yang diberikan oleh para ahli akademik, pemerintah dan golongan perancang dasar pembangunan ialah dengan memberi tempat kepada pembangunan disiplin sains sosial di pusat-pusat pengajian tinggi di negara ini (Mohd. Yusof Hashim, 2006). 


Sebagai universiti yang terawal, UM memang terkehadapan ketika itu dari segi pengalaman dan tahap kelulusan ahli akademiknya kerana ia sudah pun mempunyai sejumlah pensyarah yang berkelulusan PhD (Doktor Falsafah) dan terkenal khususnya di Fakulti Sastera, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran serta Fakulti Pendidikan. Mereka merupakan barisan pelopor yang mengembangkan sains sosial dan kemanusiaan tempatan.
Tokoh-tokoh pelopor ini termasuk Ungku Aziz, Syed Hussein Alatas, Wang Gungwu, Syed Naguib Alatas, Mohd Taib Osman, Awang Had Salleh, Kahar Bador, Mokhzani Rahim, Syed Husin Ali dan Atan Long. Untuk mengembangkan sains sosial di universiti-universiti baru pula, sejumlah pensyarah telah dihantar ke luar negara, terutamanya Britain, Australia dan New Zealand pada akhir 1960an dan awal 1970an untuk dilatih dalam pelbagai disiplin sains sosial. 


Sejak itu sehingga kini, pelbagai disiplin sains sosial khususnya disiplin-disiplin baru seperti sosiologi, antropologi dan psikologi mengalami perkembangan yang pesat. Ribuan graduan telah lulus dalam pelbagai bidang sains sosial dan mereka memainkan peranan masing-masing dalam pembangunan negara. Manakala sesetengahnya pula menjadi pensyarah di beberapa buah universiti tersebut dan turut menyumbang kepada pembinaan dan penyebaran ilmu sains sosial. Justeru boleh kita simpulkan bahawa akhir tahun 1960an dan awal 1970an adalah titik peralihan penting dalam sejarah perkembangan sains sosial di Malaysia (Abdul Rahman Embong, 2006). 


Sarjana sains sosial tempatan telah banyak memainkan peranan dalam mengembangkan bidang masing-masing seperti antropologi, sosiologi, psikologi, sains politik, ekonomi dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan bidang sains sosial telah membuat sumbangan yang besar dalam beberapa aspek, terutamanya kepada pembangunan korpus ilmu, serta kepada pembangunan negara dan pembangunan masyarakat. Sumbangan besar bidang sains sosial ialah kepada pembinaan satu korpus ilmu yang dikenali sebagai Kajian Malaysia. Sumbangan sarjana tempatan kepada pembinaan korpus ilmu dilakukan dalam beberapa cara: 


(a) Pertama, melalui penganjuran persidangan sains sosial di peringkat antarabangsa dan nasional. 


(b) Kedua, melalui penubuhan persatuan ilmiah dan profesional, iaitu Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) pada 1978. Ini menandakan satu kemajuan dalam bidang sains sosial, kerana PSSM terlibat secara aktif dalam aktiviti akademik dan advokasi awam. 


(c) Ketiga, melalui penerbitan sains sosial, khususnya dalam bentuk jurnal akademik seperti Akademika (sejak 1972 di UKM), Kajian Malaysia (sejak 1983 di USM), Sari (sejak 1983 di UKM) dan Pertanika (sejak 1993 di UPM). Terdapat pelbagai jurnal lain yang diterbitkan seperti Ilmu Masyarakatterbitan Persatuan Sains Sosial Malaysia mulai 1983 (ditamatkan pada 1995); Jurnal Antropologi dan Sosiologi yang diterbitkan oleh Jabatan Antropologi dan Sosiologi UKM mulai 1972 (ditamatkan pada 1995; serta Jurnal Sumber yang diterbitkan pada 1983 oleh Fakulti Sains Pembangunan UKM tetapi ditamatkan pada 1997). 


Menurut Mohd. Yusof Hashim (2006), orientasi ahli sains sosial di Malaysia dapat disimpulkan kepada beberapa perkara seperti berikut: 


(a) Ahli sains sosial hendaklah menumpukan minat yang mendalam kepada profesionnya bukan sekadar di lapangan akademik semata-mata malahan hendaklah menceburkan diri ke dalam penyelidikan yang berupa problemsolving dalam jurusan pembangunan di negeri yang melibatkan perubahan-perubahan sosial dan ekonomi. Kajian-kajian hendaklah ditumpukan kepada perkara yang dinamik, yang bergolak, bukanlah kepada perkara yang statik yang hasilnya tidak memberi apa-apa faedah kepada masyarakat seluruhnya. Objektifnya hendaklah terdorong kepada hasrat untuk menolong negara dan rakyat menempuh masa pembangunan dengan lebih positif akan akibat-akibat pada masa hadapan. 


(b) Ahli sains sosial juga harus mempunyai minat untuk mendalamkan kajian terhadap sistem-sistem yang ada dalam masyarakat kita dan berani membuat syor-syor yang dapat diterima supaya perubahan berlaku dengan tersusun mengikut hala tuju yang tertentu. Sistem-sistem baru yang disyorkan hendaklah berpandukan asas-asas yang kukuh yang telah pun dikaji dan diselidik dengan secara mendalam. Perubahan-perubahan 94 TOPIK 10 SEJARAH PERKEMBANGAN SAINS SOSIAL DI MALAYSIA selalunya mendapat tentangan atau rintangan terutama yang bersangkutan dengan nilai dan sikap; maka ahli sains sosial hendaklah memahami hakikat ini. 


(c) Ahli sains sosial sendiri mestilah juga mempunyai motivasi untuk berkhidmat kepada masyarakat, untuk melihat perubahan-perubahan dalam negara ini. Mereka hendaklah mempunyai dedikasi dan mempunyai kepercayaan penuh bahawa rakyat hanya akan maju melalui pembangunan. Terpulanglah kepada mereka mengesyorkan jalan atau metode yang harus diikuti oleh pemerintah dalam mengendalikan pembangunan. Ahli sains sosial tidak harus menjadi orang atas pagar atau pemerhati saja dalam pergolakan pembangunan ataupun kelompok penentang dengan tidak memberi apa-apa panduan kepada kerajaan. Sumbangan sarjana sains sosial tempatan juga dapat dilihat dalam pelbagai agensi dan kementerian kerajaan sama ada sebagai pakar perunding, penasihat mahupun penyelidik. Sumbangan sarjana sains sosial dalam merencana dasar kerajaan dan meninjau pencapaiannya juga amat penting selaras dengan tugas mereka sebagai pakar rujuk dan juga penyelidik.
Ilmu sains sosial masih relevan dan penting untuk disebarluaskan dalam konteks pembinaan negara bangsa seperti Malaysia. Sepanjang 51 tahun kita meraikan kemerdekaan negara, banyak sejarah dan pencapaian serta kemajuan yang telah kita cipta baik dari segi pembangunan fizikal mahupun pembangunan masyarakat. 


Perlu disebutkan bahawa konsep pembangunan masyarakat telah menjadi satu konsep yang penting sejak abad ke-20 yang lalu. Ahli-ahli politik, pegawai tadbir dan perancang dasar menaruh penuh kepercayaan kepada slogan „sains dan teknologi‰ sebagai satu jentera yang akan membawa pembangunan di Malaysia. Maka kini menjadi peranan dan tanggungjawab sains sosial dan ahli-ahli sains sosial untuk menempatkan disiplin ini ke tempat dan ke taraf yang dipercayai seperti kepercayaan dan keyakinan golongan-golongan tertentu kepada sains dan teknologi. Konsep pembangunan masyarakat adalah konsep yang melibatkan pembangunan bukan sahaja dari segi fizikal, iaitu infrastruktur bahkan yang paling penting ialah pembangunan manusia, iaitu dari segi perubahan sikap, nilai, mental, pengetahuan dan kemahiran. Dengan ini disiplin sains sosial mempunyai kaitan yang implisit dalam usaha pembangunan masyarakat di negara kita. 


Ilmu sains sosial juga masih relevan dengan komitmen sosial yang diberikan oleh ahli sains sosial dalam memajukan manusia, masyarakat dan negara. Sumbangan ahli sains sosial dalam merencana hala tuju dasar juga amat penting dan perlu diberikan perhatian. Banyak kajian telah dijalankan oleh ahli sains sosial untuk menilai kembali keberkesanan sesebuah dasar yang direncana oleh pihak pemerintah. Dalam hal ini, saranan dan kritikan membina yang diberikan oleh ahli sains sosial dalam memperkasa dan memantapkan dasar amat wajar dihormati sebagai satu komitmen sosial untuk memajukan pembangunan masyarakat dan negara.


Abdul Rahman Embong. (2006). Peranan dan orientasi sains sosial di Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Hairi Abdullah. (1995). Antropologi dan sosiologi: Menggaris arah baru. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Mohd. Yusof Hashim. (2006). Peranan dan orientasi sains sosial di Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Tiada ulasan:

INDAH NYA.......................

indahnya dunia tetapi hanya sementara, indahnya dosa tetapi hanya kelak merana, indah nya bahasa tetapi disalah guna, yang indah hanya sementara di dunia ini , beringatlah wahai saudara akhir juga yang kekal selamanya yang indah yang kekal abadi. semoga saudara semua ditempatkan golongan-golongan yang beriman. amin.

AKU HAMBA ALLAH S.W.T